Ramai di kalangan kita yang mungkin tahu definisi secara akademik berkaitan maksud faraidh ini. Boleh semak buku dan juga boleh di “google” kan.
Secara mudah, faraidh ini merupakan satu ketetapan Allah kepada hambanya melalui Al Quran dan As Sunnah berkaitan pengurusan pusaka hambanya yang telah meninggal dunia.
Melalui Surah An Nisa’ ayat 7,11,12 dan 176, hukum pelaksanaan faraidh dalam pengurusan pusaka arwah adalah wajib.
Dalam Islam, setiap pemilikan melalui cara yang betul seperti jual beli, hadiah, pengurniaan adalah sah dan diiktiraf diperingkat syarak dan perundangan termasuk juga pewarisan harta.
Setelah seseorang itu meninggal, akan ada pemilik baru yang akan menggantikan pemilik yang telah meninggal dunia. Walaupun tak semua peninggalan akan jadi pusaka arwah yang perlu difaraidhkan, tetapi kita kena betul-betul teliti siapa yang berhak terhadap sesuatu peninggalan simati.
Sekiranya kita gagal menguruskan pusaka arwah mengikut hukum faraidh maka kita sedang melakukan sesuatu yang haram dan menyusahkan waris yang lain.
Kita kena ingat, Allah berfirman “Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak tahu siapa yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian pusaka dan penentuan bahagian masing-masing ialah) ketetapan daripada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. (An-Nisa 4:11)”
Sehubungan dengan itu, jom kita sama-sama mempelajari ilmu faraidh dan kita ajarkan kepada yang lain agar kita tidak mengambil hak orang lain dan hak anak yatim secara salah dan haram.
Teruskan membaca penulisan saya, sekiranya ada persoalan, penambah baikkan dan kritikan, boleh tinggalkan diruang komen dibawah.
Wallahua’lam
Nazmi Kamis
Daie Ilmu Faraidh